Berdasarkan laporan BES TawauFM melalui laman facebook mereka, Maritim Malaysia, Zon Maritim Tawau menggagalkan cubaan seludup masuk rokok dipercayai dari negara jiran, selepas berjaya merampas 372 karton rokok bernilai 16-ribu 500-ringgit di perairan Tinagat, Tawau, awal pagi tadi.
Menurut Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, kesemua rokok berkenaan dirampas semasa bot ronda Zon Maritim Tawau yang menjalankan rondaan menerusi Op Benteng di sekitar kawasan perairan berkenaan pada pukul 4.30 pagi.
Pihak APMM telah mengesan sebuah bot pam dilihat dalam keadaan mencurigakan dan tidak memiliki nombor pendaftaran namun, selepas menyedari kehadiran pihak Maritim Malaysia untuk melakukan pemeriksaan, juragan bot tersebut dilihat telah bertindak terjun dan meloloskan diri ke kawasan pantai berhampiran.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat muatan bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi rokok putih dan kretek pada bot berkenaan.
Kesemua muatan rokok, bot serta enjin sangkut 15-kuasa kuda dirampas seterusnya diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.
Menurutnya, APMM akan terus mempergiatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan perlanggaran undang-undang di perairan Tawau.
Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan dan maklumat melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.
0 Comments