Ticker

6/recent/ticker-posts

SABAH PERKENAL PAKEJ BANTUAN COVID-19

Kerajaan Negeri Sabah telah mengumumkan 3 KATEGORI pakej ransangan ekonomi yang bertujuan untuk membantu rakyat di Negeri ini menghadapi waktu krisis COVID-19 iaitu Bantuan Kepada Petugas Barisan Hadapan, Bantuan Kepada Rakyat Terjejas dan Memperkukuh Perniagaan Serta Menambah Baik Kualiti Infrastruktur dan Kemudahan Asas Luar Bandar



Berikut adalah intipati PAKEJ BANTUAN COVID-19 UNTUK NEGERI SABAH:

BANTUAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN


Peruntukan Khas Sebanyak RM50 Juta Bagi Membiayai Perbelanjaan Kecemasan Covid-19.

Kerajaan amat menghargai komitmen dan pengorbanan mereka yang bertugas di barisan hadapan seperti para doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan dan pegawai imigresen dalam melindungi negara dan Negeri Sabah daripada penularan wabak Covid-19. Bagi memastikan golongan tersebut mempunyai bekalan barangan guna pakai dan peralatan yang kritikal dalam menjalankan tugas mereka seperti face masks, hand sanitizer serta pakaian pelindung, Kerajaan Negeri menyediakan Peruntukan Khas berjumlah RM50 juta untuk tujuan tersebut. Ini amat penting dalam memastikan wabak Covid-19 dapat dikawal dan dibendung penularannya dengan berkesan. 

Peruntukan RM10 Juta Untuk Bantuan Makanan Dan Keperluan Kepada Golongan Petugas Di Barisan Hadapan

Kerajaan Negeri juga amat tersentuh dan mengambil perhatian ke atas komitmen para petugas di barisan hadapan yang bekerja, menggalas tugas dan tanggungjawab tanpa henti dalam membantu melaksanakan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta untuk tujuan penyediaan makanan kepada para doktor, jururawat dan kakitangan perubatan; pegawai-pegawai imigresen; Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia; ESSCOM; Angkatan Polis Marin; dan juga RELA

BANTUAN KEPADA RAKYAT YANG TERJEJAS


Peruntukan Sebanyak RM20 Juta Kepada Golongan Yang Terjejas Secara Langsung Oleh Wabak Covid-19

Kerajaan Negeri juga menyedari bahawa terdapat golongan yang telah terjejas secara langsung oleh wabak Covid-19. Sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk meringankan kesulitan hidup yang dihadapi golongan terbabit. Ini termasuklah RM18 juta untuk bantuan keperluan
bahan makanan di kampung-kampung di Sabah yang terjejas. Sebanyak RM2.0 juta lagi adalah untuk membantu dan meringankan masalah kewangan dalam menampung keperluan harian, termasuk makanan yang dihadapi oleh para pelajar di Sabah dan di
Semenanjung Malaysia ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu.

Peruntukan Sebanyak RM20 Juta Untuk Elaun Bantuan Khas Kepada Golongan Miskin dan Miskin Tegar 

Kerajaan Negeri juga tidak lupa kepada rakyat daripada golongan miskin dan miskin tegar di Sabah yang turut terjejas oleh wabak Covid19. Maka, bagi meringankan kesulitan yang dihadapi golongan tersebut dalam menampung keperluan harian dalam masa yang susah ini, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk memberikan bantuan khas tunai sebanyak RM500 seorang secara “one-off” kepada Ketua Isi Rumah Miskin dan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih. Bantuan ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta yang dijangka akan memberikan faedah kepada 22,456 Ketua Isi Rumah Miskin dan 15,747 Ketua Isirumah Miskin Tegar di seluruh Sabah.

Peruntukan Sebanyak RM80 Juta Bagi Membantu Golongan Berpendapatan Rendah B40.

Kerajaan Negeri juga amat prihatin dan mengambil berat terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat Sabah berpendapatan rendah daripada golongan B40 dan juga kumpulan masyarakat yang mudah terjejas. Ini termasuklah anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia (dianggarkan seramai 30,000 orang); pemandu-pemandu teksi (seramai 13,132 orang); petani atau pekebun-pekebun kecil; nelayan dan penternak (seramai 169,630 orang); “porter” dan malim gunung (seramai 339 orang); serta kumpulan “vulnerable” seperti warga tua; anak-anak yatim; Orang Kelainan Upaya (melibatkan 62,638 orang); dan ibu-ibu tunggal (seramai 6,500 orang) di seluruh Sabah. Mereka ini akan diberikan bantuan tunai secara “one-off” sebanyak RM300 seorang, dalam mana Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM80 juta untuk maksud tersebut. 

Pengurangan Cukai Tanah (Quit Rent) Sebanyak 30 Peratus Bagi Tahun 2020

Kerajaan Negeri juga telah bersetuju supaya Cukai Tanah yang dikutip oleh Jabatan Tanah dan Ukur dikurangkan sebanyak 30 peratus bagi tahun 2020. Pengurangan ini dijangka akan memberi faedah kepada 232,774 individu; 9,184 syarikat; dan 402 selebihnya dalam berbagai kategori yang lain. Bagi mereka yang telahpun menjelaskan cukai tersebut untuk tahun 2020, maka rebat pembayaran akan diberikan pada tahun hadapan iaitu tahun 2021.

Pengurangan Cukai Pintu (Assessment) Yang Dikutip Oleh Pihak Berkuasa Tempatan Sebanyak 20 Peratus
Cukai Pintu yang dipungut oleh Dewan Bandaraya kota Kinabalu (DBKK) dan semua Pihak  Berkuasa Tempatan (PBT) akan dikurangkan sebanyak 20 peratus dalam 2020. Langkah tersebut dijangkakan akan memberikan faedah kepada 97,641 pembayar cukai pintu di Kota Kinabalu dan 221,470 pembayar di kawasan PBT yang lain. Sekiranya pembayaran cukai sudah dibuat, maka rebat akan diberikan pada tahun 2021. 

Pengecualian Bayaran Bil Air Untuk Tempoh Tiga Bulan

Bagi meringankan beban dan kos sara hidup rakyat pada keseluruhannya, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk mengecualikan pembayaran bil air kepada semua pengguna air domestik untuk tempoh 3 bulan bermula bulan April, 2020 ini. Langkah ini akan memberi faedah kepada seramai 335,000 pengguna air domestik.

Pemberian Diskaun Sebanyak 30 Peratus Ke Atas Bil Elektrik Untuk Tempoh Tiga Bulan

Tenaga elektrik juga merupakan keperluan asas dan kritikal kepada rakyat. Maka, diskaun sebanyak 28 peratus akan diberikan ke atas pembayaran bil elektrik untuk tempoh 3 bulan bermula bulan April, 2020 sebagai tambahan kepada diskaun 2 peratus yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan. Pemberian diskaun ini akan
melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM11.5 juta sebulan atau RM35.65 juta untuk tempoh 3 bulan. Langkah ini dijangka akan memberi manfaat kepada 512,000 pengguna atau bersamaan sekitar 98 peratus pengguna tenaga elektrik di seluruh Sabah dan Labuan.

Pengecualian Daripada Membayar Sewa Rumah Di Bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk Tempoh 6 Bulan

Bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di rumah-rumah Program Perumahan Rakyat di seluruh Sabah, Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya mereka dikecualikan daripada membayar sewa rumah untuk tempoh 6 bulan bermula bulan April, 2020. Langkah ini dijangka akan memberi faedah kepada 20,080 isirumah dan seramai 110,400 orang. Pengecualian ini akan mengakibatkan kos sekitar RM21.1 juta kepada Kerajaan Negeri.

Elaun Kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung

Pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan telah menjejaskan pembayaran elaun bulanan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sabah. Maka, dalam masa yang sukar ini, Kerajaan Negeri mengambil langkah pro-aktif untuk memastikan MPKK terus menerima elaun mereka. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk tujuan membayar elaunelaun MPKK bagi tempoh 10 bulan akan datang, termasuk bulan Mac, 2020. Langkah ini akan memberikan faedah kepada 2,315 MPKK di seluruh Sabah. Pada masa sama, kesemua pekerja bergaji hari lantikan Kerajaan Negeri yang tidak dapat bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan juga akan dibayar gaji sewajarnya.

MEMPERKUKUH PERNIAGAAN SERTA MENAMBAHBAIK KUALITI INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN ASAS LUAR BANDAR


Peruntukan RM40 Juta Untuk Skim Kredit Mikro Bagi Peniaga-Peniaga Kecil

Kerajaan Negeri juga beriltizam untuk membantu peniaga-peniaga kecil yang terjejas dalam suasana yang sukar ini. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM40 juta di bawah Dana Kredit Mikro Sabah dengan kadar faedah yang rendah sebanyak 2 peratus. Penyediaan dana melalui Perbadanan Pinjaman Sabah ini
dijangka akan membantu sekitar 20,000 peniaga-peniaga kecil di seluruh Sabah.

Peruntukan Sebanyak RM200 Juta Untuk Menanbahbaik Infrastruktur Dan Kemudahan Asas Luar Bandar

Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk pelaksanaan 1,000 buah projek di kampung-kampung dalam kawasan DBKK; Majlis Perbandaran Sandakan; Majlis Perbandaran Tawau dan kesemua daerah, termasuk daerah-daerah kecil di seluruh Sabah. Projek-projek kecil yang akan dilaksanakan ini akan menumpu kepada usaha menambahbaik kualiti dan liputan infrastruktur dan kemudahan asas di di luar bandar Sabah. 

Peruntukan Sebanyak RM50 Juta Untuk Dana IKS Sabah

Industri-industri di Sabah juga turut terjejas ekoran penularan wabak Covid-19. Bagi membantu industri-industri tersebut untuk terus berdaya tahan dalam masa kesusahan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk Dana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah (Sabah SME Fund). Dana IKS Sabah ini menawarkan pinjaman dengan kadar faedah serendah 3.5 peratus. Memandangkan Kerajaan Negeri telah mengambil langkah untuk membantu, maka saya juga berharap supaya Industri-industri IKS di Sabah akan turut menjaga kebajikan pekerja dan kakitangan mereka dalam masa yang sukar ini.

Diharap dengan pengumuman ini dapat mengurangan lagi bebanan rakyat negeri ini dan daerah Tawau khususnya. Marilah kita sama-sama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang kini dilanjutkan 2 minggu lagi.