Ticker

6/recent/ticker-posts

KASTAM SABAH RAMPAS ROKOK DAN MINUMAN KERAS BERNILAI LEBIH RM 1.14JUTA


KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Sabah menahan empat kontena berisi rokok dan minuman keras bernilai lebih RM1.14 juta disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara ini dalam dua kes berasingan minggu lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Mohd Nasir Deraman berkata barangan itu disyaki cuba diseludup masuk masing-masing melalui Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sepanggar di sini dengan duti serta cukai barangan itu dianggarkan lebih RM7.91 juta.

Beliau berkata bagi kes di Pelabuhan Tawau, bertindak berdasarkan maklumat risikan, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) menahan dua kontena berisi minuman keras di pelabuhan itu pada pukul 7.20 malam 13 Dis lepas.

"Pemeriksaan awal membawa kepada penemuan minuman keras berjumlah 36,432 liter jenis bir disyaki barang larangan dianggarkan bernilai RM218,227.68 serta anggaran duti dan cukai RM568,069.12," katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar di sini hari ini.

Bagi kes di Pelabuhan Sepanggar pula, bertindak hasil penilaian risko dan imbasan imej, Cawangan Siasatan Khas dan Unit Operasi Penguatkuasaan JKDM Kota Kinabalu menahan dua kontena berisi minuman keras dan rokok di pelabuhan itu pada pukul 10.15 pagi 14 Dis lepas.

Mohd Nasir berkata pemeriksaan awal kontena pertama membawa kepada penemuan 31,752 liter jenis bir disyaki barang larangan dianggarkan bernilai RM104,781.60 serta anggaran duti serta cukai RM466,278.12.

Katanya pemeriksaan awal kontena kedua pula menemukan lebih 10.3 juta batang rokok putih disyaki barang larangan dianggarkan bernilai RM824,000 serta anggaran duti dan cukai lebih RM6.88 juta.

"Modus operandi kedua-dua kes ini adalah membuat ikrar palsu dengan mengikrar dagangan import sebagai barangan lain bagi tujuan penyeludupan dan sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Mohd Nasir berkata JKDM menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan dengan menelefon talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau hubungi pejabat Kastam yang berhampiran.


-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments