Ticker

6/recent/ticker-posts

JURURAWAT BANTU PESAKIT MELAHIRKAN BAYI DENGAN SELAMAT WALAUPUN CEDERA SELEPAS KEMALANGAN


SEMPORNA: Walaupun diri sendiri cedera selepas ambulans dinaiki terbabit kemalangan, seorang jururawat tetap meneruskan tugas membantu pesakit melahirkan bayi dengan selamat sejurus kejadian itu.

Kisah gigih jururawat itu dikongsi sendiri Pengarah Hospital Semporna, Dr Mohd Syahfadzreen Yunus melalui Facebook sebelum ia tular di media sosial.

Mohd Syahfadzreen turut berkongsi foto ambulans terbabit yang remuk pada bahagian sisi dalam keadaan tersadai di dalam semak bersama muat naik berkenaan.

"Gambar ini bukanlah isunya. Tetapi hati ini terkilan dan degupan jantung terhenti seketika apabila warga kerja hospital yang turut terbabit sama masih membantu pesakit melahirkan bayi dengan selamat selepas kemalangan di tempat kejadian.

"Alhamdulillah ibu dan bayi selamat dan sihat dan setibanya staf berkenaan di Wad Kecemasan Hospital Semporna (dihantar menggunakan ambulans kedua hospital dan ambulans bomba) ayat pertama yang mereka tuturkan - "Saya berharap saya ok sebab nanti rakan lain akan terpaksa cover tugasan saya".

"Meruntun hati dengar. Di sebalik kecederaan dialami dan memerlukan rawatan lanjut di hospital berpakar, masih merisaukan pesakit dan beban kerja yang ada.

"Inilah perjalanan yang perlu dilalui mereka. Di sebalik cemuhan, kepenatan dan musibah, perkhidmatan perlu diteruskan demi membantu masyarakat. Suatu pengorbanan yang besar," kongsi beliau.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, ambulans dalam perjalanan ke Hospital Tawau dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas selepas dipercayai cuba mengelak sebuah pacuan empat roda (4WD) yang memotong secara tiba-tiba dari arah bertentangan.

Akibatnya, ambulans itu terbabas ke tepi jalan dan menyebabkan dua jururawat masing-masing mengalami kecederaan.

Seorang daripadanya cedera pada bahagian belakang badan, manakala seorang lagi patah tulang pinggul.

Seorang wanita hamil berusia 26 tahun dilaporkan selamat dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Pemandu ambulans pula hanya cedera ringan dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Semporna untuk pemeriksaan Kesihatan.

SUMBER: BERITA HARIAN

Post a Comment

0 Comments