Ticker

6/recent/ticker-posts

Tiada arahan ibu bapa, pelajar perlu sahkan dokumen di JPN

TAWAU: Jabatan Pelajaran Sabah tidak pernah mengeluarkan arahan bahawa ibu bapa dan pelajar mesti mendapatkan pengesahan dokumen seperti kad pengenalan dan surat lahir dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum berurusan dengan jabatan itu.

Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin, berkata ibu bapa dan pelajar sebaliknya boleh mendapatkan pengesahan itu daripada pegawai kumpulan A atau mana-mana pegawai kerajaan yang dibenar mengesahkan dokumen.

"Oleh itu, ibu bapa dan pelajar tidak perlu bersesak-sesak di pejabat JPN untuk mengesahkan dokumen mereka seperti yang berlaku kebelakangan ini," katanya selepas melancarkan Program Hari Bertemu Pelanggan jabatan berkenaan di Dewan Masyarakat di sini, hari ini.

Difahamkan sekurang-sekurangnya tiga Pejabat Pelajaran di Sabah termasuk Tawau, Sandakan dan Lahad Datu yang mensyaratkan dokumen ibu bapa/penjaga dan pelajar perlu disahkan JPN sebelum berurusan dengan Pejabat Pelajaran.

Malah, bukan saja murid Tahun Satu dikenakan syarat berkenaan malah meliputi pelajar yang ingin mendaftar memasuki Tingkatan Satu.

Muhiddin berkata, apa yang diperlukan ketika berurusan dengan Pejabat Pelajaran ialah ibu bapa atau penjaga atau pelajar membawa salinan yang telah disahkan beserta dokumen asal untuk diteliti.

Mengulas masalah keselamatan bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, SK Pasir Putih dan SK Kukusan, Muhiddin berkata, Jabatan Pelajaran Sabah telah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan lanjut.

"Kami menyedari sebahagian daripada bangunan ketiga-tiga sekolah berkenaan tidak selamat digunakan. Namun demi pendidikan pelajar di situ, kami terpaksa gunakan," katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak risau mengenai keselamatan anak-anak mereka kerana bangunan sekolah berkenaan sentiasa dipantau demi keselamatan lebih 1,000 murid sekolah terbabit. - BERNAMA

Sumber oleh Berita Harian.


P.S : Ramai orang yang tidak tahu sebenarnya kita boleh mengesahkah dokumen dengan orang yang di beri kuasa. Tetapi, kerana terlalu percaya khabar angin dan tidak mahu mencari kebenaran, ramai penduduk Tawau masih ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesahkan dokumen mereka. Oleh itu, sekiranya anda sudah mengetahui perkara ini, sila sebarkan kepada yang tidak tahu kerana menyampaikan sesuatu yang baik itu adalah tanggungjawab kita.

Post a Comment

0 Comments