Ticker

6/recent/ticker-posts

SYABU BERNILAI RM120,000.00 DIRAMPAS, LELAKI TEMPATAN DIBERKAS


 

TAWAU, 07 September 2023 - Polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau menahan seorang lelaki selepas gagal dalam cubaan melarikan diri ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di kawasan Jalan Timur Tawau, rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, suspek yang memandu kenderaan jenis Proton itu bertindak membuat pusingan U memecut kenderaannya dan polis mengejarnya sebelum berjaya diberkas.

“Ketika pihak Polis menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Jalan Timur, tiba-tiba sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki cuba untuk melarikan diri daripada SJR dengan membuat pusingan U.

“Anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) bertindak mengejar kenderaan terbabit sehingga berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di IPD Tawau, pagi tadi.

Hasil Pemeriksaan di tempat kejadian pihak Polis telah menjumpai sebuah bungkusan plastik di dalamnya mengandungi (4) bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu. Pemeriksaan lanjut pihak Polis di dalam kereta tersebut telah menjumpai (2) bungkusan plastik hijau di dalamnya berisi bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas seberat 2,162.40 gram dengan anggaran bernilai RM120,000.00 boleh menampung seramai lebih kurang 3,000 orang penagih.

Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan semakan rekod jenayah, suspek warga tempatan berumur 30 tahun itu pernah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2016.

Mengulas lanjut, suspek ditahan reman selama 7 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Polis juga giat dalam usaha mengesan saki baki rangkaian pengedaran dadah di daerah ini dan tidak akan berkompromi dengan penjenayah malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan dadah.

Tambahnya, mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang, PDRM Tawau mengalukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat bersama membanteras kegiatan jenayah dan dadah.


SUMBER: FACEBOOK POLIS DAERAH TAWAU

Post a Comment

0 Comments