Ticker

6/recent/ticker-posts

384,000 ROKOK KRETEK DITINGGALKAN DI TEPI PANTAI DIRAMPAS

 


Tawau: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 384,000 batang rokok kretek di kawasan persisiran Pantai Cowie Bay, Batu 2 Jalan Apas dekat sini, pada Selasa lalu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah Mohd Nasir Deraman berkata, kesemua rokok kretek pelbagai jenama disyaki barangan larangan Kastam dianggarkan bernilai RM76,800.00 dengan jumlah cukai bernilai RM261,120.00.

Menurutnya, rampasan dilakukan susulan maklumat dan risikan oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau pada 9.15 malam.

"Hasil pemeriksaan di kawasan pesisir pantai berkenaan kemudiannya mengesan longgokan kotak dalam keadaan yang mencurigakan ditinggalkan di kawasan terbabit.

"Selepas diperiksa di dalam kotak terbabit mengandungi rokok kretek disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di daerah ini," katanya pada sidang media di sini, pagi hari ini.

Mohd Nasir berkata, pihaknya masih mengesan pemilik barang berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Sementara itu, katanya, JKDM Sabah pada tahun ini berjaya membuat 591 rampasan dengan 571 kes berkaitan rokok kretek dengan nilai rampasan lebih RM1 juta membabitkan nilai cukai sebanyak RM6.3 juta selain tangkapan seramai 17 orang.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak kami juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

SUMBER: ABDUL RAHEMANG TAIMING/HARIAN METRO

Post a Comment

0 Comments