KOTA KINABALU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan turut diperintah dikenakan 11 sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana merompak warga emas di daerah Tawau pantai timur Sabah.
Arip Tarip, 31, warga Indonesia, mengaku bersalah melakukan jenayah itu, yang berlaku September lalu, ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud pada Rabu (9 Nov).
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 392/97 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
Awang Kerisnada turut menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan lima sebatan terhadap tertuduh kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa kertas perjalanan yang sepatutnya mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Mengikut kertas pertuduhan, Arip didakwa merompak Jong Fook Onn di hadapan sebuah kedai kopi di Taman Hill Top pada 5.24 pagi 2 Sept lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd Syahnidzam sebelum ini menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana ia adalah kepentingan awam selain jenayah dilakukan dengan senjata berbahaya.
Mahkamah kemudian memutuskan agar hukuman Arip berjalan secara berasingan selain tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke negara asalnya sebaik sahaja hukumannya selesai.
SUMBER: THE STAR
0 Comments