INFO BES TAWAUfm
TAWAU; 23 APRIL 2020 (Khamis) - Tiga lelaki disyaki pemburu haram ditahan sepasukan penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau dan Yayasan Sabah selepas memiliki hasil pemburuan tanpa lesen iaitu daging buruan lima rusa dalam satu sekatan jalan di Jambatan Putih Tawau, pagi kelmarin.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Sailun Aris dalam kenyataan medianya berkata, kesemua tangkapan warga tempatan berumur 29 hingga 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi.
Beliau berkata, pemeriksaan pada kenderaan pacuan empat roda dinaiki kesemua suspek mendapati terdapat daging rusa yang telah siap dilapah menjadi beberapa bahagian.
Pemeriksaan lanjut mendapati mereka telah menjalankan aktiviti perburuan haram di sebuah hutan simpan berhampiran Luasong, Kalabakan.
Menurut Sailun, mereka ditahan kerana berburu tanpa permit dan memiliki hasil haiwan yang dilindungi dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar (EPHL) 1997.
Katanya, orang awam juga dinasihat agar tidak keluar memburu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tiada permit memburu dikeluarkan.
Tegasnya, JHL sentiasa memantau dan melaksana operasi penguatkuasa dari masa ke semasa bagi membanteras aktiviti perburuan haram.
#BESTAWAUfm
[SUMBER]