Ticker

6/recent/ticker-posts

BOT KARAM NYARIS TENGGELAM, DUA LELAKI BERJAYA DISELAMATKAN SELEPAS BERTAHAN 15 MINIT

INFO BES TAWAUfm



TAWAU; 24 APRIL 2020 (Jumaat) - Maritim Malaysia (Zon Maritim Tawau) berjaya menyelamatkan dua mangsa bot jongkong yang karam di Sungai Pukol, Pulau Sebatik kira-kira pukul 5.10 petang, kelmarin. 

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata, kedua-dua mangsa dan sebuah bot jongkong sedang berapung dan nyaris tenggelam dikesan pihak Maritim Malaysia yang sedang melakukan Op Cegah PATI di kawasan berkenaan.

Kedua-kedua mangsa lingkungan umur 35 hingga 40 tahun itu tidak mengalami kecederaan dan berjaya diselamatkan selepas terapung kira-kira 15 minit bertahan.

Katanya, bot jongkong berkenaan dipercayai bergerak masuk dari Jeti Log Pond menuju ke Jeti Sungai Melayu dan semasa di lokasi kejadian, kedua-dua enjin bot mengalami kerosakan.

Ekoran itu, kesan cuaca buruk dan lautan bergelora menyebabkan air laut memasuki bot dengan cepat mengakibatkan bot jongkong itu tidak dapat diselamatkan dan karam. 

Hasil siasatan, pemilik bot terbabit menyatakan anggaran jumlah kerugian dialami bernilai kira-kira 90-ribu ringgit termasuk bot jongkong, dua enjin bot serta muatan barang-barang runcit. 

Salah sorang mangsa merupakan warga tempatan dan seorang lagi warga Indonesia (jaminan isteri) seterusnya dibawa pulang ke Sungai Melayu kira-kira pukul 8.30 malam. 

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa daerah Tawau akan menghadapi fasa peralihan monsun dan dijangka berterusan sehingga lewat bulan Mei 2020.

Fasa berkenaan tidak mempunyai corak tiupan angin yang konsisten, malahan perairan Tawau dijangka menerima tiupan angin yang lemah dan sentiasa berubah arah.

Justeru itu, ciri tiupan angin seperti demikian manjadikan sebahagian daerah Tawau adalah kawasan yang kondusif bagi pembentukan awan ribut petir.

Oleh itu, pihaknya menyeru kesemua komuniti maritim khususnya di Tawau sentiasa mengutamakan ciri-ciri keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, peralatan di dalam bot diselenggarakan dengan baik serta sentiasa mengatur perjalanan dengan baik.

Dalam pada itu, beliau menegaskan agar semua komuniti maritim Tawau sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilanjutkan kerajaan sehingga 12 Mei 2020 semalam.

Katanya, sebarang maklumat jenayah, aduan serta bantuan kecemasan di laut boleh disalurkan di talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau, di talian 089-752115 atau MERS 999.

#BESTAWAUfm