Ticker

6/recent/ticker-posts

APMM TAWAU MENGINGATKAN PENGGUNA PENGANGKUTAN AIR UNTUK MENGGUNAKAN JAKET KESELAMATAN




TAWAU, 11 Jun — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau mengingatkan orang ramai yang menggunakan pengangkutan laut termasuk nelayan supaya menggunakan jaket keselamatan terutama ketika menaiki bot.


Pengarahnya Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata penggunaan jaket keselamatan amat penting untuk keselamatan mereka, selain mengurangkan kemalangan di perairan berkenaan.

“Kita tidak mahu satu lagi tragedi bot karam seperti berlaku di perairan Sungai Melayu, Pulau Sebatik pada Jumaat lalu di mana penumpang didapati tidak memakai jaket keselamatan.


“Ini menyebabkan seorang mangsa gagal menyelamatkan diri dan akhirnya kehilangan nyawanya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Hari Kesedaran dan Keselamatan Maritim anjuran APMM Zon Maritim Tawau di sini hari ini.


Dalam kejadian Jumaat itu, mangsa dikenali sebagai Abdul Rahim Kasil, 56, hilang, manakala isterinya Nurlina Aripin, 52, terselamat, namun cedera di kaki selepas bot yang mereka naiki karam akibat bertembung dengan objek tenggelam.


Mayat mangsa ditemui kira-kira 200m dari lokasi kejadian pagi semalam, iaitu pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan pihak berkuasa bersama penduduk setempat.

Dalam pada itu, Shahrizan berkata sejak Januari hingga 31 Mei tahun ini, APMM Zon Maritim Tawau telah membuat 23 tangkapan atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Kawalan Bekalan, Akta Imigresen dan Akta Perikanan. — Bernama

Post a Comment

0 Comments