Tawau: Bagi mengabadikan kenangan sebagai raja sehari, Irwan Md Umran dan pasangannya, Norwadah Suharto nekad mengadakan majlis perkahwinan bertemakan automotif.
Keunikan majlis yang berlangsung pada Ahad lalu terserlah apabila Irwan atau mesra disapa Wan, 30, dan Norwadah, 27, mengenakan sut pelumba kereta bagi menggantikan busana pengantin.
Kerusi kereta pula dijadikan tempat duduk manakala peralatan baiki kenderaan, minyak enjin, tayar dan replika enjin kereta turut menjadi hiasan di atas pelamin.
Lebih menarik, majlis diadakan hadapan bengkel kereta milik Wan di Jalan Apas, Batu 4, di sini.
Bercerita lanjut, Wan berkata, idea perkahwinan dengan konsep sebegitu tercetus sejak dia dan isterinya bertunang pada tahun lalu.
Katanya, tema itu dipilih kerana minat dan kecenderungannya yang mendalam terhadap bidang automotif jadi mahu ia direalisasikan pada hari bahagianya.
"Sejak kecil lagi saya berminat dalam bidang automotif dan mula jadi mekanik ketika berumur 15 tahun lagi.
"Dulu kerja makan gaji tetapi buka bengkel sendiri lapan tahun lalu dan disebabkan itu, saya impikan perkahwinan bertemakan automotif
"Disebabkan itu, saya kumpul wang untuk membeli barangan bagi menghiasi pelamin dan membelanjakan kira-kira RM4,500 untuk kesemuanya.
"Manakala, sut pemandu lumba kereta itu dipinjam daripada rakan kerana masa yang agak suntuk dan bimbang lambat sampai kerana perlu ditempah dahulu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Wan, isteri dan keluarga tidak menghalang hasratnya untuk mengadakan majlis perkahwinan dengan tema berkenaan.
Sebaliknya, semua menyokong malah membantu memberi idea bagi mencantikkan pelamin perkahwinannya.
Katanya, tema itu juga hanya ada di majlis sebelah pihaknya saja kerana yang sebelah pengantin perempuan diadakan mengikut adat pada 1 Oktober lalu di Kunak, serentak dengan akad nikah.
"Saya sudah maklumkan kepada isteri dan keluarga kedua belah pihak mengenai tema dipilih serta minta mereka ruang untuk saya uruskan sendiri.
"Alhamdulillah, mereka setuju dan beberapa rakan yang juga pengusaha bengkel turut membantu dengan berkongsi pendapat mereka.
"Ikutkan, saya mahu lebihkan barangan automotif di atas pelamin namun dinasihatkan mak andam untuk letak juga bunga sebagai hiasan yang boleh menambah seri jadi saya ambil juga pendapat itu bagi dapatkan hasil terbaik," katanya.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, niatnya mengadakan majlis dengan tema sebegitu hanya sekadar mengabadikan sebagai kenangan.
"Ini kerana saya nampak ia lain daripada lain dan mungkin belum pernah dibuat.
"Tak sangka pula kisah saya akan tular selepas kongsikan gambar di Facebook (Fb).
"Apa pun, saya gembira impian perkahwinan itu jadi kenyataan malah seronok lihat reaksi tetamu yang rata-ratanya teruja bergambar kenangan di atas pelamin," katanya.
SUMBER BERITA: HARIAN METRO
SUMBER GAMBAR: FACEBOOK
0 Comments