Ticker

6/recent/ticker-posts

BAZAR RAMADHAN - TIADA ARAHAN WAJIB DOS PENGGALAK KEPADA PENIAGA DAN PENGUNJUNG

 


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tiada mengeluarkan sebarang arahan atau ketetapan supaya suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 diwajibkan bagi pembukaan bazar Ramadan oleh peniaga tempatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan arahan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau penganjur bazar berkenaan.

"KKM tidak mengeluarkan apa-apa arahan atau syarat kepada PBT untuk beri 'booster' (dos penggalak). Ini semua adalah bidang kuasa pihak berkenaan.

"Jika pasar malam, ia adalah (bawah bidang kuasa) PBT, dan di masjid pula Jabatan Agama Islam Negeri.

"Kita memberikan nasihat tetapi nasihat kita bukanlah sampai nak pergi pasar, kena 'booster'," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Persidangan Tahunan Dialisis, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Datuk Dr Zaki Morad.

Ditanya sama ada keperluan dos penggalak diwajibkan terhadap peniaga bazar, beliau menafikan perkara itu berlaku.

Isu suntikan dos penggalak diwajibkan terhadap peniaga bazar Ramadan, tular selepas seorang pengguna media sosial memuat naik surat arahan sebuah PBT yang meletakkan syarat tiga suntikan vaksin COVID-19, termasuk dos penggalak, ke atas peniaga dan pembantu gerai berkenaan.

Wanita itu turut dikata menyalahkan Khairy kerana menyangka beliau mengeluarkan arahan sedemikian.

Post a Comment

0 Comments