Ticker

6/recent/ticker-posts

SOP PENGURUSAN JENAZAH PESAKIT COVID -19

Pengurusan Jenazah COVID-19 bagi Pesakit Beragama Islam dan Bukan Islam
(Tarikh kemaskini: 17 November 2020)


Terdapat situasi di luar negara di mana jenazah COVID-19 tidak diurus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Agensi Kesihatan negara tersebut. Selain itu, terdapat situasi di mana jenazah, walaupun diuruskan mengikut SOP COVID-19 yang betul tetapi telah dibuka serta dicium oleh ahli keluarga apabila dibawa pulang. Ini telah mengakibatkan seluruh ahli keluarga dijangkiti dengan virus.

Kajian saintifik dan laporan forensik hasil “post mortem” telah membuktikan bahawa jenazah pesakit COVID-19 misalnya bendalir yang keluar dari jenazah mempunyai potensi kebolehjangkitan. Oleh itu, KKM telah menyediakan tatacara tertentu bagi pengendalian jenazah pesakit COVID-19 untuk membendung penularan pandemik ini. 

Bagi orang Islam, tatacara pengendalian jenazah telah dibincangkan bersama pakar Forensik KKM dan muzakarah bersama pihak JAKIM, manakala bagi orang bukan Islam, perbincangan telah diadakan bersama persatuan agama masing-masing. Hasil daripada perbincangan tersebut, KKM telah membangunkan garis panduan pengendalian jenazah pesakit COVID-19. 

Ahli keluarga tidak dibenarkan untuk mengurus jenazah di rumah atau tempat lain sebaliknya jenazah akan diuruskan sepenuhnya di hospital. Hanya seorang ahli keluarga dibenarkan untuk mengenal pasti (identify) jenazah dengan penjarakan 1 meter dan memakai kelengkapan alat pelindung diri (PPE) dan tidak dibenarkan sama sekali mencium dan menyentuh jenazah. Semua jenazah pesakit COVID-19 akan dibalut dengan sehelai linen putih dan dua (2) lapisan beg mayat. Lapisan paling luar beg mayat akan disanitasi dengan 0.5% sodium hypochlorite. Ahli keluarga dilarang untuk membuka beg mayat atau keranda yang telah ditutup (sealed coffin).


Bagi jenazah Islam, jenazah perlu diuruskan dengan hanya melakukan tayammum di atas permukaan paling luar beg jenazah tanpa perlu dimandikan. Pengendali jenazah diwajibkan memakai kelengkapan alat pelindung diri (PPE) dan mencuci tangan selepas melakukan tayammum untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan. Bilangan individu yang menunaikan solat jenazah perlu dihadkan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter. Pengebumian perlu dilakukan secepat mungkin dengan pemantauan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Ahli keluarga terdekat sahaja dinasihatkan hadir untuk pengebumian dan dikehendaki segera meninggalkan tanah perkuburan sebaik sahaja urusan pengebumian selesai.

Bagi jenazah bukan Islam, sekiranya terdapat upacara ritual yang perlu dilakukan, prosedur hendaklah dilakukan seminima mungkin dan dilakukan di lapisan paling luar beg mayat. Mayat perlu segera dibakar atau ditanam mengikut agama masing-masing. Upacara penghormatan terakhir dibuat berdasarkan SOP yang ditetapkan dengan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan dengan pemantauan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Datuk Dr. Hj. Rohaizat Bin Hj. Yon

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)

Post a Comment

0 Comments