PUSAT Kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau yang menempatkan individu dalam siasatan (PUI) selain kontak rapat pesakit Covid-19 akan ditutup dalam tempoh terdekat.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata, langkah mengosongkan pusat kuarantin itu diambil berikutan tiada pertambahan atau kes positif baharu direkodkan sehingga hari ini.
Menurutnya, ketika ini hanya kumpulan individu yang baru pulang dari Wilayah Nunukan, Kalimantatan Utara di Indonesia sejak dua minggu lalu masih ditempatkan di IPG terbabit.
"Keputusan ujian saringan pertama kesemua mereka juga didapati negatif dan hanya menunggu keputusan saringan kedua yang akan diperoleh sedikit masa lagi.
"Jika keputusan kedua itu juga didapati negatif, mereka akan dibenarkan pulang untuk menjalani kuarantin 14 hari di rumah masing-masing," katanya kepada media di Tawau hari ini.
Mengulas mengenai penuntut universiti dari semenanjung dan Kota Kinabalu yang baru tiba di Tawau baru-baru ini, beliau menjelaskan kesemua mereka sudah menjalani ujian saringan Covid-19.
Menurutnya, penuntut yang menggunakan kapal terbang akan menjalani saringan sebaik tiba di Lapangan Terbang Tawau (LTT), manakala pelajar yang menggunakan bas akan dibawa ke Klinik Kesihatan Tawau untuk menjalani ujian sama sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"Setakat hari ini, kita sudah menerima lebih 150 pelajar dan kesemua mereka sudah menjalani ujian saringan dan dikuarantin di rumah masing-masing," katanya.
[SUMBER]
0 Comments