Ticker

6/recent/ticker-posts

12 JEMAAH TABLIGH IJTIMAK DI SULAWESI DI KUARANTIN

12 jemaah tabligh baru pulang ijtimak di Sulawesi dikuarantin



TAWAU: Sekumpulan 12 jemaah tabligh yang baru pulang daripada menyertai Program Ijtimak Dunia Zon Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia diiring pasukan keselamatan negara ketika cuba memasuki perairan Tawau, semalam.

Mereka dikatakan menaiki sebuah bot menuju perairan Tawau kira-kira jam 3.20 petang, dengan diiringi bot milik Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Tugas Bersama (ATB) II.

Menurut sumber, kumpulan jemaah tabligh warga tempatan itu sepatutnya menyertai himpunan ijtima di Sulawesi, yang dijadual berlangsung 19 hingga 22 Mac.

Bagaimanapun, himpunan itu dibatalkan kerajaan negara jiran mengambil kira peningkatan jumlah kes COVID-19 di Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.

“Jemaah terbabit dikatakan tiba di Sungai Pancang di Pulau Sebatik (Wilayah Indonesia) pada Sabtu kira-kira 3.20 petang selepas pulang dari Sulawesi. Mereka mahu pulang semula ke sini (Tawau) menerusi jalan laut sebelum bergerak ke kampung masing-masing,” katanya.

Pihak berkuasa dikatakan menerima maklumat berhubung pergerakan kumpulan itu menerusi perairan Tawau jam 9.50 pagi semalam, sebelum pasukan keselamatan digerakkan ke kawasan Laut Sungai Pancang untuk mengiring dan mengawal perjalanan bot membawa jemaah berkenaan.

Pihak berkuasa mengiringi kumpulan terbabit memasuki Pusat Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) di Terminal Feri Tawau (TFT) sebelum diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan lanjut.

Difahamkan kumpulan berkenaan kini ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau bagi tujuan kuarantin dan pemantauan.

[SUMBER: BHARIAN ONLINE]

Post a Comment

0 Comments