Ticker

6/recent/ticker-posts

APMM BANTERAS AKTIVITI BOM IKAN DI LAHAD DATU

INFO BES TAWAUfm


LAHAD DATU; 05 MEI 2021 (Rabu) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan dua nelayan disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan di kedudukan sekitar 0.7 batu nautika selatan Pantai Sungai Merah, Lahad Datu, kelmarin.

Pengarahnya Komander Maritim Abdul Muhaimin Mohammad Salleh berkata, tangkapan tersebut adalah hasil maklumat orang awam dan anggotanya sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi untuk melakukan tinjauan. 

Katanya, setibanya di lokasi, anggota bot telah mengesan sebuah bot pam tidak bernombor bersama dua lelaki dalam situasi mencurigakan kira-kira pukul 4.30 petang.

Bagaimanapun sebaik dihampiri untuk pemeriksaan, dua suspek telah bertindak nekad terjun ke laut untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan.

Katanya, siasatan mendapati suspek berumur 17 dan 33 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki daripada etnik Bajau Laut atau Palauh.

Hasil pemeriksaan lanjut telah berjaya menemukan lebih kurang 15 kilogram ikan yang disyaki hasil daripada aktiviti mengebom, berdasarkan situasi perut ikan yang dibelah.

Katanya lagi, kedua nelayan, bot pam dan hasil tangkapan ditahan dan diiring masuk ke Jeti Maritim Negeri Sabah untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 26, Akta Perikanan 1985, iaitu menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

SUMBER: BES TAWAUfm

Post a Comment

0 Comments