TAWAU: Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Amrullah Kamal menggesa semua pasar yang ditutup di kawasan Jalan Apas sehingga Balung sebelum ini harus dibuka untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya selama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga dikuat kuasakan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau berkata, semua peniaga di Pasar Kinabutan, Bandar Sri Indah dan Balung sudah dimaklumkan supaya membuka premis mereka.
"Dengan cara itu dapat membantu penduduk di kawasan tersebut membeli barang asas dan menegaskan mana-mana peniaga mempunyai meja di pasar berkenaan yang tidak mendengar arahan akan diambil tindakan," katanya semasa dihubungi Utusan Borneo, di sini.
Katanya tindakan itu terpaksa dibuat supaya dapat membantu keadaan lalu lintas yang sesak sejak beberapa hari ini kerana alasan mereka terpaksa pergi ke pasar di bandar untuk membeli barang keperluan.
Amrullah berkata, setiap orang yang mahu masuk ke dalam pasar perlu menunjukan bukti senarai barang yang akan dibelinya dan ini merupakan tiket untuk mereka dibenarkan masuk.
"Sekiranya tidak ada senarai, mereka tidak dibenarkan memasuki pasar kerana kita tidak mahu mereka hanya datang suka-suka di pasar berkenaan," katanya.
Menurutnya, selain itu, hanya 20 orang sahaja dibenarkan masuk ke dalam pasar dalam satu masa dan pengunjung lain terpaksa berbaris di luar.
"Setiap pengunjung juga akan diberikan nombor giliran dan hanya dibenarkan berbelanja selama 20 minit sahaja," katanya.
[SUMBER]
[SUMBER]