Ticker

6/recent/ticker-posts

LEBIH RAMAI PESAKIT COVID-19 DIBENARKAN PULANG, JUMLAH 35 SEMBUH DI TAWAU

INFO BES TAWAUfm



TAWAU; 19 APRIL 2020 (Ahad ) - Tujuh lagi pesakit dilaporkan telah sembuh semalam bagi daerah Tawau menjadikan jumlah keseluruhan sembuh dan dibenarkan pulang seramai 35 orang.

Jumlah tersebut mencatatkan hampir separuh jumlah kes di Tawau telahpun sembuh, sementara itu 45 pesakit masih dalam pengawasan dan dirawat di wad Hospital Tawau. 

Tawau mencatatkan pertambahan dua kes baharu positif covid-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 81 kes. Bagaimanapun, untuk tiga hari berturut-turut Tawau merekodkan pesakit sembuh (discaj) sangat baik. 

Tawau turut merekodkan tujuh pesakit sembuh dua hari lepas (17 april) dan sembilan pesakit sembuh hari sebelumnya (16 april).

Berdasarkan kenyataan media Pengarah Kesihatan Negeri Sabah dikeluarkan malam tadi, dua kes baharu direkodkan di Tawau merupakan kes daripada satu kes 'kluster tabligh lain-lain' dan satu kes lagi generasi pertama 'kluster tabligh Seri Petaling'. 

Sementara itu, laporan dikeluarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, sebanyak 303 kes positif covid-19 di Sabah dan Tawau merupakan daerah tertinggi merekodkan kes positif covid-19 iaitu hampir satu per tiga dari jumlah kes keseluruhan. 

Daripada jumlah itu pula, 168 pesakit dilaporkan telah sembuh termasuk 22 pesakit dilaporkan sembuh semalam. Jumlah tersebut melebihi 50-peratus kes di Sabah telah pulih dan discaj.

Sabah merupakan negeri keenam tertinggi mencatatkan kes positif covid-19 di Malaysia, dibawah negeri Selangor 1,340 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 985 kes, Johor 639 kes, Negeri Sembilan 405 kes dan Sarawak 403 kes.