Ticker

6/recent/ticker-posts

BUKA JALAN TULAR DI JALAN MASJID, WARGA PAKISTAN DITANGKAP

Buka jalan, lelaki Pakistan dicekup - Harian Metro Online

TINDAKAN seorang lelaki yang membuka pita keselamatan dan kon penghadang jalan yang dipasang pihak berkuasa dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang padah apabila dia ditahan polis di kediamannya, dekat Tawau, semalam.


Penahanan lelaki warga Pakistan berumur 30 tahun itu susulan perbuatannya yang dirakam pengguna jalan raya di kawasan simpang empat lampu isyarat di Jalan Masjid, kira-kira 1.50 tengah hari, sebelum tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, bertindak daripada aduan orang awam itu, suspek telah ditahan di kediamannya di sebuah taman perumahan, kira-kira jam 3 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang menaiki Mitsubishi Triton bertindak membuka pita keselamatan bersama kon penghadang jalan yang dipasang di kawasan itu bagi mengawal pergerakan penduduk setempat.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dan Seksyen 26 (2) Akta Polis1967," katanya dalam kenyataan.

Berikutan kejadian itu, beliau menjelaskan pihaknya mengambil tindakan drastik dengan memasang kawad berduri di laluan berkenaan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak sewenang-wenangnya mengalih atau mengganggu gugat mana-mana penghadang jalan yang dipasang pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP.

"Saya ingin tegaskan, sila patuhi arahan kerana perbuatan sedemikian adalah kesalahan yang serius dan mana-mana individu yang didapati melakukannya akan didakwa di mahkamah," katanya.