TAWAU; 6 APRIL 2020 (Isnin) - Berikutan bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dibuat bagi fasa pertama hari ini, orang ramai berbaris panjang di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Tawau sehingga tidak mengendahkan keselamatan penjarakan 1 meter yang dinasihatkan sepanjang wabak covid-19 ketika ini.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas ketika dihubungi berkata, pihaknya maklum akan perkara itu dan bertindak mengarahkan anggotanya untuk memantau situasi di bank berkenaan selain institusi perbankan lain.
Polis kemudiannya bertindak menasihatkan orang ramai agar mematuhi penjarakan antara satu sama lain dan memakai topeng muka demi keselamatan diri dari dijangkiti wabak covid-19.
Menurutnya, selepas diberi peringatan, kelihatan orang ramai mula mengikut nasihat pihak polis dan ada diantaranya meninggalkan bank selepas pihak bank memaklumkan bayaran juga akan dikreditkan ke akaun penerima.
Dalam pada itu rata-rata yang ditemui mengakui bukan kerana teruja menerima BPN, sebaliknya memerlukan kewangan untuk membeli barang keperluan bagi menampung perbelanjaan keluarga. Ini termasuk semenjak, PKP dikuatkuasakan, masa untuk membeli barang di pasar raya dan kedai runcit sangat terhad.
BPN dibayar bagi fasa pertama bermula hari ini manakala bagi fasa kedua akan dibayar Mei depan.
[Sumber]
[Sumber]
#BESTAWAUfm