Ticker

6/recent/ticker-posts

9 INDIVIDU ANJUR PESTA LIAR DAN INGKAR PKP DARI TAWAU DIPENJARA

9 individu termasuk dua remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berpesta liar sehingga menimbulkan gangguan di kawasan kejiranan.


Mengikut kertas pertuduhan, Fendi Sandana, 18; Kamaruddin Yusuf, 19; Mohd Usman Jamal, 23; Asri Basri, 26; Amir Kahar Diari, 29; Nuramira Sikin Romel, 21; Nor Azlin Erdawati Surtoyol, 20; dan dua lagi individu bawah umur secara bersama berhimpun di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Harmon, Kampung Tass, Tawau jam 8.12 malam pada 4 April lalu.

Semua tertuduh yang berasal dari sekitar Tawau dan Kunak didakwa berkumpul di rumah berkenaan dan melakukan aktiviti sosial semasa dalam tempoh PKP dengan berhibur secara liar dan keterlaluan sehingga menimbulkan bunyi bising selain mengganggu ketenteraman penduduk sekeliling.

Mahkamah memerintahkan semua lima tertuduh lelaki menjalani hukuman empat bulan penjara manakala dua wanita menjalani hukuman dua bulan penjara.

Bagi kes remaja bawah umur, mahkamah menetapkan sebutan semula kes masing-masing pada 15 Mei depan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana prosiding kes berkenaan tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Kanak-Kanak.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua beradik warga asing dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan empat hari penjara, selepas masing-masing mengaku bersalah ingkar PKP pada pada 4 April lalu.