Ticker

6/recent/ticker-posts

LELAKI DICEKUP SEDANG LEKA BUNGKUS SYABU DI RUANG TAMU

 


TAWAU – Polis menahan seorang lelaki warga asing dipercayai pengedar dadah bersama syabu seberat lebih tiga kilogram (kg) bernilai RM180,000 di sebuah rumah atas air di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas kelmarin.

Ketika ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tawau suspek yang berusia 42 tahun sedang leka membungkus dadah berkenaan pada pukul 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan pegawai dan anggota digerakkan untuk melakukan risikan dan serbuan ke atas rumah berkenaan sebaik menerima maklumat daripada orang awam.

“Ketika serbuan, suspek yang berada di dalam rumah bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap.

“Siasatan awal mendapati, lelaki itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemukan tiga bungkusan disyaki syabu seberat 3,096.56 gram di ruang tamu rumah berkenaan. Turut ditemukan beberapa peralatan yang digunakan untuk membungkus syabu sebelum dijual kepada penagih.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya membuka 19 kes kertas siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 melibatkan 30 tangkapan dan rampasan dadah berjumlah 34,875.69 gram.

“IPD Tawau juga telah mengaktifkan risikan dan serbuan untuk mengesan kes serta rangkaian dadah berskala besar di daerah ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE.


Post a Comment

0 Comments