TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana merogol anak tirinya berusia 12 tahun di sebuah rumah di ladang kelapa sawit dekat Merotai di sini pada 7 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada 9.50 malam Sabtu.
Suspek ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan dibuat ahli keluarga mangsa di Balai Polis Desa Kencana di Lahad Datu, kira-kira jam 12.01 pagi hari sama.
“Berdasarkan laporan, mangsa yang tinggal bersama suspek sejak 5 Mac lalu memberitahu kakaknya yang tinggal di Felda Sahabat 20, Lahad Datu mengenai kejadian rogol melalui WhatsApp.
“Mangsa mendakwa dirogol suspek pada 7 Mac lalu dan turut diugut kecederaan fizikal sekiranya memberitahu kejadian itu kepada sesiapa,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.
Jasmin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai menyerbu sebuah ladang kelapa sawit milik persendirian di Kampung Iban, Merotai pada jam 9.50 malam.
Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah majistret Tawau pagi ini untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Mangsa akan dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan lanjut."
SUMBER: NST ONLINE
0 Comments