Ticker

6/recent/ticker-posts

GURU ASAL TAWAU BANTU PELAJAR TERKESAN PANDEMIK COVID-19

Harian Metro online melaporkan kisah seorang guru yang mengambil inisiatif sendiri untuk membantu pelajarnya yang terkesan dengan pandemik COVID-19. 



Berdasarkan laporan, seorang guru kaunseling, Maisarah Hannan berusaha memberi bantuan kepada para pelajarnya setelah menerima pelbagai mesej daripada mereka. 

Kota Kinabalu: Sedih dan sebak selepas menerima pelbagai mesej daripada pelajarnya yang meminta bantuan makanan, menjadi titik mula kepada guru kaunseling sekolah menengah, Maisarah Hannan berusaha memberi bantuan, susulan pandemik Covid-19 di negara ini.

Maisarah, 35, berkata, hati guru mana yang boleh berdiam diri apabila menerima pelbagai mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp daripada pelajar meminta bantuan terutama bekalan makanan.

Menggunakan duit sendiri sebagai permulaan, katanya ini kerana dia tidak sanggup mendengar bebanan yang ditanggung pelajarnya, iaitu tiada bekalan makanan.

"Mereka tidak meminta lebih tetapi hanya mahu bantuan makanan. Saya kemudian mencari jalan termasuk menggunakan duit sendiri untuk membantu setakat yang mampu selain bantuan daripada rakan guru yang lain.

"Ada pelajar datang daripada keluarga tidak berkemampuan dan ibu bapa hanya bekerja sendiri selain diberhentikan kerja serta tidak dapat kerja kerana pandemik Covid-19.

"Saya bersama rakan yang lain turun padang untuk mengagihkan barangan keperluan itu ke rumah pelajar terbabit. Usaha ini saya teruskan sehingga kini kerana saya tahu ramai yang terkesan dengan pandemik ini, terutama dengan kes yang tinggi di Sabah ketika ini," katanya di sini.

Maisarah yang berasal dari Tawau dan bertugas di Sandakan berkata, dia mula memberi bantuan kepada pelajarnya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

"Bagaimanapun, usaha ini turut mendapat sokongan pihak luar dan dana yang ada semakin bertambah hasil sumbangan orang ramai. Mereka turut membantu selepas ramai yang kongsi paparan Facebook saya mengenai usaha ini.

"Oleh kerana dana semakin bertambah, kini saya luaskan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan. Ramai yang meminta tolong untuk diberikan bantuan makanan... sebak pula bila tahu," katanya yang mula terbabit dalam kerja sukarelawan serta kemanusiaan sejak 2017.

Berhubung bantuan itu, beliau berkata, ia membabitkan pelbagai bentuk barang makanan kering termasuk beras, telur, minyak masak, gula dan susu bayi selain pelitup muka.

"Saya mendapat maklumat daripada Facebook mengenai golongan yang memerlukan bantuan... mereka mesej saya di Facebook untuk minta bantuan. Lazimnya, selepas tahu alamat mereka, saya dengan dibantu rakan akan menghantar bekalan itu.

"Ada juga maklumat asnaf yang saya dapat hasil tinjauan sendiri dan rakan seperjuangan yang lain," katanya sambil menambah sumbangan itu diterima daripada orang awam termasuk ada yang menjadi penyumbang tetap.

Beliau juga berharap apa yang dia dan rakan-rakannya lakukan ini dapat menggembirakan hati pelajar dan keluarga mereka serta golongan asnaf.

"Kami membantu setakat yang termampu dan berharapsumbangan ini dapat meringankan beban mereka," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO 

Post a Comment

0 Comments