Ticker

6/recent/ticker-posts

SABAH IKUT KETETAPAN MKN - SELARAS SOP NEGERI & PERSEKUTUAN


Kuala Lumpur: Kerajaan Sabah sudah diminta supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sama dan sudah diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya membuat SOP yang berbeza ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memerangi Covid-19.

Beliau mengesahkan wakil kerajaan Sabah sudah diberitahu perkara itu ketika Sidang Khas MKN, semalam.

"Kita beritahu bahawa Sabah mesti sama dengan setiap negeri di dalam negara.

"Sabah tak boleh berbeza, sedangkan negeri lain ikut SOP seperti yang diputuskan MKN," katanya ketika sidang media di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Sabah untuk membenarkan dine-in di restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel mulai esok.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor semalam dilaporkan berkata keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan fara pertama Pelan Pemulihan Negara selain sebahagian prosedur operasi standard (SOP) Sabah PKP 3.0 dikekalkan.

Dalam kenyataan pada Isnin, Hajiji turut menambah bahawa kerajaan negeri turut membenarkan gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan serta kedai gunting rambut menjalankan perniagaan masing-masing.

Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal turut dibenarkan.

Selain itu, aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat; kilang berasaskan kayu dan perabot.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan dikeluarkan SOP dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, jika mahu berbeza pun, SOP boleh diperketatkan bukannya dilonggarkan berbanding apa diputuskan MKN.

"Tak boleh berbeza. Kalau setiap negeri buat SOP berbeza ia lebih mengelirukan," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO


Post a Comment

0 Comments