Lapangan terbang Semporna akan dibuka semula selepas 20 tahun - Berita Astro Awani
Lapangan Terbang Semporna akan dibuka semula untuk penerbangan komersil setelah 20 tahun dihentikan.
Ia berikutan sektor pelancongan dan kedatangan pelancong ke daerah itu semakin meningkat selain bertujuan memendekkan tempoh masa perjalanan ke daerah yang terkenal dengan pulau-pulau itu.
Langkah itu juga dapat memberikan pengalaman baharu kepada pelancong untuk menyaksikan keindahan Semporna dari udara.
Penerbangan komersil terakhir di lapangan terbang itu dilakukan Malaysia Airlines (MAS) pada 1999.
Operasinya dihentikan selepas itu tetapi hanya dibuka untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Pengurus Operasi Penerbangan Sabah Air Aviation Sdn Bhd, Kapten Azahari Ahmad, Lapangan Terbang Semporna dijangka beroperasi semula pada Januari 2020, menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.
Untuk tujuan itu, Sabah Air melakukan penerbangan komersil percubaan dari Lapangan Terbang Tawau pada pagi Khamis, yang mengambil masa 20 minit perjalanan menggunakan pesawat jenis Nomad 9M-AUA.
"Ia agak mencabar tetapi tiada masalah untuk pesawat jenis Twin Otter atau Nomad. Pesawat jenis ini adalah untuk landasan pendek, jadi tiada masalah.
"Dan, landasan ini juga sangat selesa. Tidak perlu risau. Mereka yang ikut terbang tadi sungguh gembira," kata Azahari.
Sementara itu, Pengurus Lapangan Terbang Tawau, Hasbi Said, yang turut serta dalam penerbangan percubaan itu berkata, landasan tersebut masih dalam keadaan baik dan boleh menampung operasi penerbangan sesuai dengan kategorinya.
"Hasil pemeriksaan kami di kawasan tempat mendarat mendapati, memang landasan Lapangan Terbang Semporna sudah cukup bersedia untuk operasi penerbangan berjadual komersil oleh mana-mana syarikat penerbangan," katanya.
Pelancong tempatan Alice Chin yang hadir menyaksikan pendaratan percubaan itu menyambut baik pembukaan semula Lapangan Terbang Semporna.
"Kami sungguh gembira dengan pembukaan semula lapangan terbang ini selepas 20 tahun. Kami percaya ia akan berkembang pesat di masa akan datang, dan sangat memudahkan untuk datang ke Semporna," katanya.
Tinjauan Astro AWANI juga mendapati penduduk Semporna amat gembira dan teruja dengan adanya penerbangan komersil ini kerana ia pasti akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi di Semporna.
Dalam aspek kelancaran jadual penerbangan, pihak Sabah Air akan berbincang dengan syarikat penerbangan lain yang berminat beroperasi di lapangan terbang itu kelak.
Program penerbangan percubaan itu turut disertai Pegawai Teknik Kejuruteraan Malaysia Airport Sdn Bhd (MASB) Tawau, Safari Saman, Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat MASB Tawau, Mohd Farid Maulihasan, Pegawai Keselamatan MASB Tawau Rosiena Shik, seorang ahli perniagaan dan dua wakil media.
Kredit berita: Astro Awani
0 Comments