Ticker

6/recent/ticker-posts

Lelaki Nogori Kayuh Basikal Dari Kuching Ke Tawau

TAWAU, 10 Feb (Bernama) — Faktor usia tidak menghalang Zainuddin Haron menamatkan cabaran berbasikal – Kayuhan Solo Borneo 1Malaysia dari Kuching, Sarawak ke Tawau dalam tempoh masa 10 hari.

Zainuddin berjaya menamatkan cabaran itu di perkarangan Pejabat Majlis Perbandaran Tawau (MPT) kira-kira jam 3.00 petang tadi, disambut oleh Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Pang Yuk Ming dan presiden MPT Ismail Mayakub.

Penunggang berasal dari Paroi, Negeri Sembilan itu melahirkan rasa terharu kerana tidak menduga akan mendapat sambutan meriah di lokasi terakhirnya.

Katanya, cabaran paling besar dihadapi sepanjang perjalanan adalah ketika mengharungi Banjaran Crocker dari Tamparuli ke Kota Kinabalu kerana kesukaran menaiki bukit.

Bagaimanapun, kesukaran itu langsung tidak mematahkan semangatnya kerana beliau ingin membuktikan bahawa beliau mampu melakukan sesuatu yang membanggakan walaupun usianya sudah menjangkau 50 tahun.

“Idea kayuhan solo ini timbul apabila Perdana Menteri mencetuskan konsep 1Malaysia,” katanya yang telahpun mendapat tawaran mewakili negara dalam pertandingan berbasikal veteran di luar negara dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini, Zainuddin turut melakukan kayuhan solo sejauh 2,200 kilometer mengelilingi Semenanjung Malaysia dari Putrajaya dan kembali ke tempat sama, pada tahun lepas.

Sebagai persediaan, beliau melakukan latihan insentif berbasikal sejauh 200 kilometer setiap hujung minggu di Semenanjung.

Beliau berharap usahanya akan dicontohi oleh golongan belia di negara ini demi memartabatkan sukan berbasikal di samping menggalakkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti sihat dan berfaedah. — BERNAMA

[sumber : Sarawakupdate.com]

Post a Comment

0 Comments